Hari ni dalam whatsapp sekolah anak, saya terima message yang agak sentap jiwa ibu bapa membaca.

Tak semua cara ibu bapa betul dan tepat dalam mendidik anak-anak. Ia memerlukan ilmu keibubapaan dan menuntut kesabaran yang tinggi.

Jujurnya, memang ada yang secara tak sengaja ibu bapa lakukan ini dalam melayan karenah anak-anak.

Mari kita baca & hayati. Moga mana yang kurang dapat kita perbaiki.

Credit, Saudara Anuar Ahmad

10 “BAHASA DOSA” Penyebab Anak Degil Dan Bermasalah

Kadang kala tanpa kita sedari ada bahasa yang kita ucapkan setiap hari kepada anak-anak adalah bahasa ‘dosa’ yang menyebabkan anak semakin degil dan nakal. Bukankah kata-kata yang diucapkan oleh ibu dan ayah itu menjadi satu doa kepada anak. Jika yang diucapkan bahasa yang elok dan baik maka baiklah yang akan dapat kepada anak kita. Tetapi sekiranya yang diucapkan adalah “bahasa dosa”, ia akan menyebabkan anak menjadi degil, bermasalah, pemarah, pendendam, lemah jiwa dan bermacam lagi sifat negatif.

Antara “Bahasa Dosa” tersebut adalah seperti berikut:

 

1. Bahasa Melaknat

Sering mengeluarkan kata-kata sumpah seranah, maki hamun, carutan. Anak yang sering ditengking dan dimaki hamun biasanya akan menjadi seorang yang keras jiwa, memberontak, kurang keyakinan diri.

2. Bahasa Menyindir

Contoh ayat “Asyik mintak duit je. Kamu ingat ayah/ibu kerja cop duit?” Bahasa ini sangat mengguris emosi anak. Anak-anak biasanya tidak faham bahasa sindiran. Lebih baik berterus-terang dan menggunakan ayat yang jelas dan mudah difahami.

3. Bahasa Menipu

Contohnya “Jangan nakal-nakal ye, nanti polis tangkap baru tau.” Tanpa disedari kebanyakan ibu bapa sering menggunakan bahasa ini dalam situasi hendak memujuk anak. Hakikatnya ibu ayah tidak boleh berbohong kepada anak! Ia akan menghilangkan kepercayaan anak kepada ibu ayah dan akhirnya mereka sendiri meniru perbuatan tersebut.

4. Bahasa Menempelak

Contoh ayat “Tulah, tak nak dengar cakap ibu. Kan dah jatuh. Padan muka!” Anak-anak tidak dapat belajar apa-apa daripada ayat yang mengguris emosi mereka. Sebaiknya, beritahu sahaja apa kesilapan tersebut dan nasihatkan supaya mereka tidak mengulanginya lagi.

5. Bahasa Membebel

Hakikatnya tiada siapa pun suka dirinya dileteri. Sebaiknay berikan arahan ataupun tegur anak dengan ayat yang ringkas dan mudah difahami. Fokus kepada kebaikan yang mereka buat. Anak yang sering dikritik dan dibebel tak akan maju ke depan, malah akan hilang keyakinan diri mereka.

6. Bahasa Mengungkit

Contoh ayat “Teruknya result periksa. Buat penat je ayah/ibu hantar tuisyen, belikan buku. Buang duit je macam ni.” Sebaiknya ibu ayah perlu ikhlaskan hati dan banyakkan bersabar dalam mendidik anak-anak. Bukankah mereka itu amanah dari Allah SWT.

7. Bahasa Membandingkan

Contoh ayat “Cuba kamu tengok abang/kakak, rajin tolong ibu. Kamu ni asyik tahu nak main je.” Jangan bersikap pilih kasih dan suka membandingkan anak-anak. Setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Perbuatan melebihkan atau menyayangi anak-anak tertentu hanya akan menjadikan anak-anak lain rasa rendah diri, tidak disayangi dan tertekan. Bahkan hubungan antara mereka juga akan renggang.

8. Bahasa Mengugut

Contoh ayat “Kalau tak berhenti menangis, ayah/ibu lari dari rumah.” Anak-anak memang perlu diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tetapi bukan dengan mengugut. Sebaiknya ibu bapa tetapkan peraturan di rumah beserta denda jika ia dilanggar, dan ini mesti diterangkan dengan jelas kepada anak-anak. Ibu ayah perlu konsisten, tegas dan hukuman yang dikenakan perlu berpatutan. Insha Allah anak-anak akan faham akibat perbuatan mereka serta jadi lebih berdisiplin. Penggunakan ‘carta bintang’ juga sangat bagus untuk mendisiplinkan dan motivasikan anak berbuat baik terutama yang masih kecil.

9. Bahasa Menuduh

Contoh ayat “Kenapa adik menangis? Abang/kakak buat ya?” Jangan terus menuduh anak! Sebaiknya siasat dulu untuk tahu keadaan sebenar. Berikan anak peluang untuk menerangkan hingga habis tentang situasi sebenar. Janganlah disebabkan anda sebagai orang tua, maka tidak mahu langsung mendengar penjelasan anak. Dengan cara ini, ia memberikan mereka keyakinan dan keberanian untuk berterus-terang dan mengaku kesalahan (jika berbuat salah) dengan jujur.

10. Bahasa Bisu

Dengan mendiamkan diri ia tak akan membantu anak untuk membetulkan kesalahan mereka. Bahkan akan membuatkan mreka rasa lebih tidak disayangi serta menjauhkan diri.

Semoga bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Nak beli Shaklee? Klik SINI untuk hubungi saya